Khamis, 3 Mei 2012

Pemuda PAS Sabah sokong kenyataan SLA

KOTA KINABALU, 2 Mei: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan sokongan dan pendiriannya terhadap kenyataan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA) yang merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memperuntukkan semua hak petroleum kepada Petronas yang bertentangan dengan perlembagaan negara.

Ketuanya, Lahirul Latigu menegaskan bahawa, perjanjian pemilikan hak petroleum tersebut adalah tidak sah sekiranya melibatkan persekutuan sedangkan pemutusan dan kelulusan adalah di bawah tanggungjawab Dewan Undangan Negeri.

“Atas akta dan sebab apa perjanjian ini diluluskan? Sedangkan kalau mahu dikira Perjanjian Malaysia 1963, Sabah mempunyai peruntukan tersendiri untuk memutuskan kuasa dasar petroleumnya,” ujar beliau.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Isu Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA), Sukumaran Vanugopal dalam sebuah akhbar tempatan Daily Express, 2 Mei kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut, Sukumaran menyatakan bahawa isu tanah dan dasar laut merupakan soal negeri dan hanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang boleh memutuskan mengenai hak dan pemilikan tersebut.

Menurut Lahirul, Pemuda PAS bertegas meminta pihak SLA agar mempertahankan dasar dan peruntukkan ini yang sudah diselaraskan dengan mengambil kira pelbagai factor termasuk dasar Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita (PAS) mahu pihak SLA supaya mengambil pendirian tegas dengan mempertahankan bidang kuasa yang sudah diperuntukkan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Kenapa perlu ada pertikaian lagi jika semuanya sudah termaktub dan tersedia dalam perjanjian? Kenapa ingkar dan memungkiri segala perjanjian yang sudah dibuat? Ini sudah melanggar akta dan boleh diklasifikasikan sebagai menghina rakyat Sabah,” tegas Lahirul lagi.

Pemuda PAS juga katanya, akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya badan tersebut gagal menunjukkan minat dan kesungguhan dalam mempertahankan hak rakyat Sabah termasuk isu petroleum dan semua hasil yang sepatutnya dimiliki oleh negeri.

“Kita (PAS) berpendirian tegas, sekiranya pihak SLA gagal menunjukkan ketegasan mereka dalam mempertahankan hak Sabah, maka saya kira Pemuda PAS bersedia mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya.

“Hasrat dan impian kita adalah, mahu mengembalikan dan meletakkan semua maruah dan martabat negeri ini ditempat yang sebetulnya,” jelasnya.  

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top