Rabu, 25 Januari 2012

Bosan! Jalanraya di Sabah terus menakutkan

KOTA KINABALU, 25 Jan: Rakyat di negeri ini sudah bosan dan kecewa dengan kegagalan pihak kerajaan negeri yang hingga kini masih gagal mencari formula terbaik menangani masalah jalan rosak yang terpaksa dilalui setiap hari.

Biarpun pendedahan demi pendedahan dan laporan demi laporan termasuklah kajian strategik yang dibuat mengenai isu itu, namun ia bagaikan ‘bising hanya dibibir’ kerana tiada perubahan yang ketara terhadap kualiti jalan raya terutama di negeri ini seperti mana yang diharapkan pengguna.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan berkata, rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong yang ditaburkan pihak tertentu hanya semata mahu meraih undi semasa pilihan raya.

“Rakyat sudah bosan dan kecewa dengan keadaan begini.

“Keadaan jalan berlubang, mendap, beralun serta tampalan yang tidak sempurna dan berpasir terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik resah memikirkan kos bagi penyelenggaraan kenderaan,” ujarnya dalam nada yang kecewa.

Menurutnya, jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupit, Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu boleh diklasifikasikan jalan yang paling teruk bermasalah.

Beberapa siri kejadian di mana kenderaan mengalami masalah tayar meletup, rim bengkok akibat hentakan jalan berlubang dan sebagainya sentiasa berlaku di jalan-jalan ini.

“Ini adalah antara laluan yang berbahaya terutama di waktu malam. Pengguna kerap kali melalui jalan yang teruk yang terpaksa memikirkan kos sampingan selain kos penyelengaraan kenderaan,” katanya.

Selain itu, kegagalan kerajaan negeri melihat permasalahan ini diselar berikutan begitu banyak pembaziran yang dibuat berbanding menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat.

“Kita (PAS) tidak nafikan bahawa, keindahan itu penting. Tapi alangkah baik sekiranya kerajaan juga menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik untuk rakyat.

“Ini jelas menepati slogan rakyat didahulukan... bukan kroni dan bukan juga perut menteri,” ujar Julpikar.

Rabu, 18 Januari 2012

BR1M: Pengunjung program Muhyiddin kecewa

SEMPORNA, 18 Jan: Hampir 10,000 pengunjung kecewa dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dijanjikan tidak ditepati oleh kerajaan negeri.
 
Yang Dipertua PAS Semporna, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) mendakwa, hampir sebahagian daripada pengunjung yang hadir ke Program Pemimpin Bersama Rakyat di pekan ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang dalam perasaan yang kecewa setelah berpanas dan bersesak-sesak bagi mendapatkan bantuan BR1M tersebut.


 
“Mereka datang dari seluruh daerah Semporna ini bagi mendapatkan BR1M yang telah dijanjikan kerajaan.

“Namun, mereka agak kecewa kerana hanya sekitar 3,000 sahaja yang menerima bantuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu berperanan secara serius dan adil dalam pemberian bantuan kepada rakyat.

“Apabila janji sudah dibuat, maka peranan perlu secara serius dan adil,” katanya.

Program pemberian BR1M yang diadakan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Padang Pekan Semporna kelmarin turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah turut menempelak Muhyiddin kononnya BR1M tersebut tidak ada kaitan dengan politik.

“Cakap tak ada main-main politik. Tapi, ucapan-ucapannya jelas bermotifkan politik bagi meraih undi.

“Ini duit, duit rakyat yang bayar cukai. Bukan duit Umno BN. Kenapa perlu mengatakan Umno yang bagi?” ujarnya.

Sehubungan itu, Julpikar menyeru rakyat Sabah untuk mengajar pemimpin-pemimpin Umno BN yang ‘besar kepala’ dengan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Selasa, 17 Januari 2012

BN Sabah dicabar isytihar harta

KOTA KINABALU, 17 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman serta semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah mengisytiharkan harta peribadi dan keluarga masing-masing bagi memudahkan rakyat menilai tahap dan jurang perbezaan antara rakyat dan pemimpin.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata, pemimpin Sabah tidak seharusnya ‘bercakap besar’ dan perlu membuktikan bahawa taraf hidup mereka menepati citarasa rakyat.

“Cakap besar kita tidak mahu. Cukuplah cakap-cakap Umno/ Bn berjuang kebajikan rakyat.

“Kita (PAS) mahu, mereka isytihar harta masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, langkah pengistiharan harta yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap barisan kabinet exconya baru-baru perlu diberi pujian kerana mencerminkan keprihatinan sebuah kerajaan terhadap rakyat.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat serius membangunkan kebajikan rakyat. Kita tidak hanya beromongan kosong, malah membuktikan bahawa kita benar-benar telus dan terus kepada rakyat.

“Rakyat boleh menilai secara seluas-luasnya. Tiada halangan dan tiada sembunyi-sembunyi,” katanya.

Katanya, pemimpin Umno/BN di negeri ini khususnya tidak perlu berasa terbeban dan teragak-agak untuk menyenarai dan mempamerkan harta masing-masing, jika mereka benar-benar pemimpin sejati yang memiliki jiwa rakyat.

“Mereka tidak perlu gusar. Pemimpin Umno/BN mesti berani, sebagaimana mereka berani terhadap rakyat,” ujar Lahirul.


Jejak Pulau Pinang

Pada 12 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Bagaimanapun, pegawai ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri tidak diwajibkan berbuat demikian.

Lim Guang Eng memiliki pelaburan dalam Amanah Mutual Bhd yang menunjukkan sedikit peningkatan dari 112,843 unit kepada 124,845 unit antara Mac 2008 dan akhir tahun lalu, pelaburan Dana Public Mutual miliknya meningkat dari 10,000 unit hingga 25,989 unit manakala simpanan tetapnya  menunjukkan kenaikan daripada RM245,000 hingga RM298,785. Pelaburan lain iaitu sebanyak 8,000 unit tidak menunjukkan peningkatan dari tahun 2008.

Lim juga memiliki dua rumah kedai di Melaka, satu daripadanya adalah harta milik bersama yang bernilan RM435,000 dan satu lagi bernilai RM530,000. Beliau turut membuat pinjaman sebanyak RM650,000 bagi membayar hartanah itu.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Batu Maung Datuk Abdul Malek Kassim hanya mempunyai sebuah kereta Proton Tiara bernilai RM36,000 dan Honda CRV 2.0  berharga RM143,000 yang baru dibeli menggunakan pinjaman kerajaan negeri. Beliau merupakan antara exco yang tidak berharta.

Hasil pengisytiharaan tersebut juga mendapati Exco Kebajikan, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjadi exco paling kaya iaitu memiliki tanah dan rumah di New Zealand bernilai RM1.39 juta,  kereta Alphard bernilai RM169,000 dan beberapa unit saham.

Kata Lahirul, Pakatan Rakyat Sabah juga bersedia untuk mengisytiharkan harta masing-masing sekiranya berjaya mentadbir negeri ini.

Isnin, 16 Januari 2012

Rakyat Sabah diajak bersama Pakatan Rakyat

KOTA KINABALU, 16 Jan: Rakyat di negeri ini diajak untuk bersama Pakatan Rakyat  membina sebuah negeri dan negara yang maju, adil dan beramanah menjelang Pilihanraya Umum ke-13 memandangkan Umno BN sudah tidak berdaya dan lemah dalam membangunkan nasib dan hak rakyat.
 
Ketua Penerangan, Mohd Julpikar Abd. Mijan berkata, selain kenyataan penghinaan pemimpin Umno BN terhadap Sabah sebagai deposit tetap, terdapat juga beberapa faktor yang membenarkan rakyat untuk memastikan Umno BN terutama dinegeri ini ditumbangkan.

 
“Rakyat Sabah perlu sedar bahawa, kekerapan beberapa kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin Umno BN yang menjadikan Sabah sebagai fixed deposit (deposit tetap) merupakan kenyataan berbaur penghinaan dan tidak layak untuk dituturkan oleh seseorang pemimpin yang memiliki jiwa dan berhati rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil bumi dan kekayaan Sabah yang tinggi berbanding di negeri-negeri lain seluruh Malaysia dan dalam masa yang sama, kadar kemiskinan rakyat Sabah yang tinggi juga menimbulkan tanda tanya mengenai pembangunan rakyat yang dibawa Umno BN negeri ini.

“Semua kita maklum bahawa, Sabah mempunyai hasil kekayaan yang tinggi. Lebih tinggi daripada mana-mana negeri yang ada di Malaysia ini.

“Tapi, apakah kita percaya bahawa Sabah juga mencatatkan kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi juga berbanding di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ikut dari logik dan matematik, semakin tinggi hasil hasil dan kekayaan bumi maka semakin senanglah hidup rakyat,” kata Julpikar.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri menguruskan masalah setinggan di negeri ini menambahkan lagi jurang pendapatan dan keselesaan yang dialami rakyat.

“Isu setinggan, sampai sekarang tidak mampu ditanggani dengan baik oleh kerajaan negeri.
“Projek-projek perumahan banyak didirikan, namun kehidupan rakyat masih dihantui kesempitan dan ketidakselesaan mengurus kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa penghuni setinggan yang dipindahkan ke pusat penempatan turut dihalau keluar akibat kesempitan membayar sewa dan kemudahan infrastruktur yang lain.

“Kita (PAS) mempunyai maklumat dan bukti yang benar mengenai isu ini. Penghuni setinggan yang tidak mampu bayar sewa di penempatan baru terpaksa dihalau keluar.

“Beginikan caranya pihak kerajaan menyelesaikan masalah?” katanya dalam nada kekesalan.

Keseriusan Ahli Parlimen Sabah menyuarakan hak dan kebajikan rakyat negeri ini juga dipertikai memandangkan kegagalan mereka menyuarakan dan membangkitakan isu ini di Parlimen.

“Kita (PAS) melihat, terdapat beberapa Ahli Parlimen yang lantang menyuarakan kebenaran... yang lain hanya angguk dan geleng mengatakan ‘yes bos’.

“Sudahlah enak menikmati gaji dan elaun yang tinggi, duduk pula di kerusi-kerusi empuk dan tilam yang lembut. Tapi, amat lembap dan lemah meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Katanya, Sabah akan menikmati kehidupan yang jauh lebih baik dan dinaungi kerajaan adil yang beramanah sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang memimpin negeri ini dan negara secara keseluruhannya.
 
back to top