Rabu, 16 Januari 2013

Masalah Tiada Bekalan Air Juga Berlaku di Sabah


BEAUFORT: Pemuda PAS Sabah mendesak pihak Umno Barisan Nasional agar lebih menumpukan perhatian mereka terhadap permasalahan di peringkat negeri yang dikuasainya daripada berterusan ‘menyerang’ dan ‘memperbodohkan’ rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata masalah kemudahan dan infrastruktur dilihat lebih bermasalah di Sabah berbanding negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, antara yang paling ketara ialah, masalah ketiadaan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menurutnya, masalah air turut sering berlaku di daerah Beaufort yang dikatakan daerah maju oleh sesetengah wakil rakyatnya.



“Ada wakil rakyat di Beaufort mendakwa banyak kemajuan sudah dibuat, tapi saya nak beritahu bahawa wakil rakyat ini cuba untuk membohongi rakyat setempat.

“Sudah bertahun-tahun penduduk kampung terseksa dengan bekalan air yang sering terputus ditambah elektrik yang ‘sekejap ada sekejap tiada’ seolah-olah ini kemajuan yang dibangga-banggakan pemimpin Umno,” jelasnya.

Lahirul mendakwa, pemasangan saluran paip ke Labuan melalui Beaufort turut menghampakan sebilangan besar penduduk setempat di daerah itu yang lebih memerlukan bekalan air untuk kegiatan harian.

“Saluran pemasangan paip air dipasang melalui Beaufort ke Labuan, tetapi apa yang penduduk sekitar dapat.

“Masalah air di sini masih keadaan kritikal, sedangkan air merupakan sumber utama kegiatan rakyat... nak mandi, nak berniaga... apa semua orang Beaufort ni tak perlukan air ke,” dakwa Lahirul yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort.

Beliau turut kecewa dengan pentadbiran negeri ini yang langsung tidak mempedulikan nasib rakyat, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

“Inilah satu kezaliman yang dibuat oleh Umno. Saban hari mereka memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat... TV1, TV2, TV3... saling bersilih ganti memutarbelitkan isu.

“Tapi masalah rakyat yang ada di negeri mereka sendiri, mereka tidak nampak,” ujar Lahirul.

Rasa Dulu Masakan, Baru Tahu Sedap Atau Tidak


BEAUFORT: Rakyat di negeri ini, khususnya di Sipitang tidak perlu ragu-ragu memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sipitang, Ahmad Khambar berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini perlu melakukan perubahan demi kelangsungan hidup dan masa depan yang lebih baik.

“Kita adalah tuan, tuan kepada wakil-wakil rakyat yang ada sekarang. Sebab itu kita mesti tahu hak kita,” katanya.

Katanya, demokrasi di Malaysia yang mengadakan pilihanraya setiap lima tahun menunjukkan bahawa rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan membentuk kerajaan yang lebih merakyat.

“Rakyat yang lebih berkuasa, bukan Datuk Seri Najib. Sebab itu ada pilihanraya dan pengundian memilih wakil rakyat.

“Insya Allah, kalau Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memimpin negeri Sabah, kita akan berusaha menyelesaikan permasalahan yang dialami rakyat khususnya di daerah ini,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan dan penyampaian sumbangan kepada penduduk di Kampung Suasa dekat sini petang kelmarin.

Beliau turut menyentuh mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan beberapa hari lalu yang menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sebagai petanda bahawa rakyat sudah bersedia melakukan perubahan.

“Kita di sini, kata orang... mesti rasa dulu masakan. Baru dapat tahu sedap atau tidak. Jangan kita terus menolak dengan mengatakan ‘tidak sedap’.

“Justeru, cuba dulu Pakatan Rakyat, baru dapat tahu bagus atau tidak,” jelas beliau.

Pertemuan dan penyampaian bantuan tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Beaufort, Lahirul Latigu serta beberapa pimpinan PAS kawasan yang lain.

Isnin, 14 Januari 2013

20 Belia Pulau Gaya Sertai PAS


KOTA KINABALU:
Seramai 20 belia di Pulau Gaya dekat sini menyerahkan borang untuk menyertai PAS dalam satu majlis anjuran PAS Kawasan Putatan, petang tadi.

Borang-borang itu diserahkan kepada Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu yang turut hadir dalam majlis itu. (Gambar atas)

Lahirul dalam ucapannya menyentuh berkenaan permasalahan utama yang membelenggu kehidupan rakyat serta beberapa isu berkaitan kebangkitan rakyat yang semakin ketara akibat kezaliman dan penindasan yang dilakukan pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, rakyat tidak perlu takut untuk bersama parti pembangkang kerana parti itu telah membuktikan keupayaan mengurus beberapa buah negeri sejak 2008 termasuk Perak yang dirampas oleh Barisan Nasional.

“Kita sudah menjadi kerajaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga di Perak sebelum dirampas semula oleh Barisan Nasional.

“Pencapaian di negeri ini cukup membanggakan apatah lagi dengan laporan audit yang memperlihatkan keupayaan dinegeri yang ditadbir Pakatan Rakyat berjaya menghasilkan pendapatan negeri yang tertinggi,” kata Lahirul.

Beliau menambah, rakyat perlu membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang bagi memastikan kestabilan dan hak rakyat terjamin bersama Pakatan Rakyat.

Khamis, 10 Januari 2013

Rakyat Sabah Perlu Bangkit Memperjuangkan Hak


KUALA LUMPUR: Gelombang Kebangkitan Rakyat terutama di kalangan anak-anak muda Sabah dilihat semakin membara, kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu.

“Hal ini bukan sahaja menjadi fenomena, malah secara tidak langsung memberi signal kepada kepimpinan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkonsepkan memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Gabungan NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (Gegar) yang dinaungi anak muda merupakan sebagai langkah serta capaian terbaik bagi anak-anak muda Sabah untuk merasai denyut nadi perjuangan rakyat yang dihimpit kesukaran dan kepayahan di bumi sendiri.

Justeru, katanya walaupun, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari ini dilihat lebih tertumpu kepada Semenanjung Malaysia dan Kuala Lumpur, namun pada hari yang sama juga Himpunan Sabah Bangkit yang dianjurkan Gegar perlu diberi tempat dan perhatian yang sewajarnya.

“Inilah anak-anak Sabah yang sedar akan tanggungjawab besar yang bakal menanti mereka kelak.

“Inilah kebangkitan Sabah yang sudah mula terasa kesengsaraan di bawah kepimpinan Kerajaan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya lagi.

Menruutnya, siapa yang tidak ‘sakit’ apabila melihat bumi tanah airnya yang dahulunya kaya menjadi sekangkang kera.

“Siapa yang tidak terguris hatinya apabila dirampas harta tanah dan kebun serta hasil tanamannya yang diusahakan bertahun lamanya.

“Siapa yang tidak ‘bingung’ melihat telatah kepimpinan negerinya yang mampu melihat setiap harta dan ‘karun’nya diangkut serta dijual ditangan asing. Siapa lagi yang tidak mahukan perubahan,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru seluruh anak muda Sabah perlu bangkit dan bingkas bangun untuk terus memperjuangkan hak miliknya.

“Masa ini bukan masanya untuk kita berpeluk tubuh, menggaru kepala dan mengangguk menggeleng antara setuju dan tidak. Masa ini, merupakan masa kebangkitan rakyat secara besar-besaran,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Lahirul dalam Himpunan Sabah Bangkit yang diadakan serentak dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat, Dewan Pemuda PAS negeri sekali lagi mengajak seluruh warga Sabah tanpa mengira peringkat umur, darjat, warna kulit, bangsa dan agama untuk terus bersama kebangkitan rakyat.

“Ini kalilah, berabis kita,” tegasnya.
 
back to top