Isnin, 1 Oktober 2012

Bajet 2013: Sabah di'anaktiri'kan

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu adalah disifatkan sebagai ’Belanja Makan Kroni’.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kedudukan Sabah sebagai ‘rakan kongsi’ Malaya (kini Semenanjung Malaysia) terus dipandang sebelah mata oleh kepimpinan Datuk Seri Najib.
“Apa hasilnya yang Sabah dapat? Apakah Sabah hanya dapat 57 buah Kedai Rakyat yang dibahagi 3 antara Labuan, Sabah dan Sarawak?

“Kalau betul kerajaan ini mahu menyeragamkan harga barang di Sabah dan Semenanjung, tidak perlu nak buka kedai rakyat umpama itu... laksanakan terus. Mansuhkan dasar kabotaj yang selama ini membelenggu rakyat Sabah. Ini baru dikatakan hak rakyat,” katanya.

Katanya, terdapat banyak ruang kelompangan dan ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pengagihan peruntukkan pada masa akan datang.

“Banyak peruntukkan diberikan secara one-off kepada rakyat. Tetapi, lagi banyak sebenarnya peruntukkan itu disalurkan menerusi agensi, kontrak-kontrak yang terlibat”, ujar beliau.

Bagi maksud tersebut, beliau mendesak supaya kerajaan memainkan perhatian khusus mengenai keperluan asas utama rakyat dalam memberi perlindungan daripada hujan dan panas.

Beliau menambah, kenaikan harga rumah di pasaran Sabah yang meningkat secara mendadak mengatasi bandar besar seperti Kuala Lumpur juga sepatutnya perlu diberi perhatian.

“Kita melihat, banyak projek perumahan baru bakal didirikan. Adakah pembangunan ini mengambil kira faktor harga semasa dari Sabah?

Kerajaan juga katanya, perlu melaksanakan pembangunan bersifat jangka panjang dan tidak hanya menumpukan usaha meraih undi di saat pilihanraya umum akan datang.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seluruh ketua isi rumah dan golongan bujang adalah satu pendekatan yang agak membebankan.

“Sejauh mana pemberian tersebut boleh bertahan sampai setahun? Ditambah dengan harga minyak yang naik, harga barang tidak menentu, kos taraf hidup yang meruncing... sepatutnya ini diambil kira dalam belanjawan. Bukan setakat beri, tabur beratus ringgit sedangkan hak dan keperluan rakyat semakin hari semakin terabai”, jelas Lahirul.

Beliau turut menempelak kerajaan yang sebenarnya mahu memerah harta rakyat sebelum pemberian itu dilaksanakan.

“Bila kita tengok balik, setiap pemberi itu bermula pada Januari 2013... tapi rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga gula serta merta, pembayaran PTPTN yang berdiskaun juga bermula 1 Oktober.

“Ini yang dikatakan... rakyat didahulukan,” sinis beliau.

Rabu, 5 September 2012

Anak Muda Sabah sedia ke Putrajaya

KOTA KINABALU: Anak muda Sabah kini sudah bersedia untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya yang akan datang dengan menjatuhkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, kesediaan itu sudah jelas kelihatan berikutan kebimbangan mereka terhadap keupayaan pemerintah sekarang yang meragukan serta penuh kelompangan dan sandiwara. 


“Tanda-tanda itu sudah jelas kelihatan. Tinggal lagi, bagaimana dan bentuk apa mereka akan melakukan perubahan tersebut.

“Anak muda sudah berani tampil kehadapan, mencabar cabaran yang dikuasai kezaliman, bersuara menuntut hak yang perlu dimiliki dan bersiap sedia melaksanakan tanggungjawab,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program Xpresi Hijau Anak Muda peringkat Negeri Sabah.


Turut hadir dalam Xpresi tersebut adalah rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diketuai oleh ketuanya, Nasrudin Hasan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Nurul Islam Mohammed Yusuf dan Dr. Ghazali Hasbullah.


Selain daripada kehadiran rombongan DPPM tersebut, turut hadir memeriahkan suasana majlis adalah bekas pemain gitar bass XPDC, Zua dan tiga (3) orang Peguam daripada JUHAM yang terdiri daripada Dr Zulqarnain Lukman Al-Haj,  Ariff Azami Hussein dan Mohd Tajuddin Abd Razak.

Sementara itu, Nasrudin Hasan yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat dalam ucapannya di Himpunan Hijau ke Putrajaya telah menegaskan bahawa hampir 50% pengundi dalam pilihan raya akan datang ini adalah terdiri daripada pengundi muda.

“Pilihanraya umum yang akan datang, untuk melakukan perubahan dalam negara ini adalah terdiri dalam kalangan pengundi-pengundi muda.


“Maksudnya, pengundi muda adalah pemangkin kepada perubahan yang sedang kita gerakkan ini,” jelasnya.

Ahad, 2 September 2012

Gelombang Sabah beri harapan besar kepada rakyat – TG Hadi

BEAUFORT: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata gelombang baru Sabah di mana wakil rakyat mula meninggalkan BN telah memberi harapan besar kepada rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan.

Berucap di Xpresi Anak Muda Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Negeri Sabah pagi tadi, Abdul Hadi juga menyentuh soal komitmen Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat dan membina masa depan negara yang adil dan telus.
 
“Ini sesuai dengan (keperluan) masyarakat majmuk. Sabah dengan gelombang baru apabila seorang demi seorang meninggalkan BN seperti Datuk Panglima Lajim memberi harapan besar kepada rakyat Sabah untuk bangkit melakukan perubahan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan betapa perlunya untuk rakyat Sabah bangkit melakukan perubahan dalam pilihanraya ke 13.

Perkara itu, tegas Nasrudin, penting untuk mengembalikan hak rakyat yang sering dinafikan oleh BN melalui amalan rasuah dan kronisme.

“Jadikan semangat Aidilfitri sebagai simbol mencari kemenangan ke arah membina negara baru yang sejahtera dari korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” saran beliau.


(Ustaz Hadi bersama Datuk Seri Panglima Lajim dan lain-lain pimpinan Sabah)


(Pimpinan Pemuda PAS yang datang ke Sabah bergambar di lapangan terbang)


(Gambar kenangan di tapak program)

Janji Ditepati: Tanah dirampas, rumah diancam roboh

BATU SAPI: Penduduk di Kampung Lupak Meluas Laut dekat sini melahirkan rasa kecewa apabila tidak mendapat pembelaan pihak berwajib setelah rumah mereka diancam roboh oleh pihak yang kononnya mengaku pemilik kepada tanah yang mereka diami.
 
PAS Batu Sapi yang menerima aduan penduduk kampung terbabit kini giat membantah pengusiran tersebut memandangkan mereka merupakan warganegara yang telah mendiami tempat tersebut sejak lebih 40 tahun lalu.

 
Yang Dipertuanya, Hamzah Abdullah kesal kerana pemimpin setempat terutama ahli Parlimennya yang tidak mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Kita minta rakyat buka mata dan lihat kebenaran. Jika Umno terus memerintah, inilah yang akan sentiasa berlaku.

“Tanah rakyat akan habis dirampas dengan sewenangnya. Sehingga kini, kita telah mendengar desas-desus bahawa Kg. Gas di Batu Sapi ini juga akan diroboh tidak lama lagi," tambah beliau.

Penduduk di kampung berkenaan juga melahirkan kekesalan bahawa mereka telah dijanjikan dengan rumah kos rendah sejak Pilihanraya Kecil Batu Sapi yang lalu dan pecah tanah juga telah dilakukan namun, semuanya tinggal janji kosong.

Beliau, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah akan turut memberikan komitmen bahawa PAS yang mewakili penduduk kampung bersedia berbincang dengan pihak tertentu bagi menyelesaikan masalah itu.
 
back to top