Jumaat, 9 Mac 2012

Mahasiswa Sabah sokong pertahan tanah adat

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat  pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.

“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus.



 
Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang  kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.

Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa  Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.

Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.

Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.

“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.

“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.

Rabu, 7 Mac 2012

123 Bangkit: Polis beri ‘lampu hijau’

KOTA KINABALU, 7 Mac: Bela Tabah Rakyat Sabah (Tabah) hari ini memberitahu Himpunan 123 Bangkit pada Isnin depan telah mendapat ‘lampu hijau’ oleh pihak polis.

Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, kebenaran itu daripada Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria dalam satu perjumpaan di sini, kelmarin.

“Kami telah mendapat maklum balas dan pandangan positif mengenai perhimpunan ini dan lampu hijau yang diberikan itu adalah sesuatu yang baik untuk rakyat Sabah menyuarakan pandangan,” katanya dalam satu sidang media.


Menurut beliau, beberapa pertubuhan politik tempatan turut menyatakan pedndirian positif dengan memberi sokongan terhadap himpunan tersebut.

“Himpunan ini turut mendapat respons positif terutama dari parti-parti politik PAS, DAP, PKR, SAPP serta beberapa NGO dan badan sukarela yang lain. Ini satu perkembangan yang baik,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bilangan kehadiran semasa himpunan tersebut, beliau memberi keyakinan bahawa sasaran 5,000 orang akan tercapai.

“Kita memberi keyakinan, sasaran menghimpunkan 5,000 orang akan tercapai.

Perhimpunan 123 Bangkit yang akan diadakan di kawasan lapang berhampiran Anjung Selera, dekat Wisma Innoprise, Isnin depan juga bakal diadakan di luar negara termasuk United Kingdom  dan Timur Tengah.

“Himpunan ini akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di luar negara. Ramai anak-anak Sabah yang berada di luar sana, mereka mahu ikut serta sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Sabah,” jelas beliau.

Selasa, 6 Mac 2012

PAS Sabah sokong Himpunan Bangkit 123

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah (BPPNS) menyokong usaha Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau ‘123 Bangkit’ dalam usaha membebaskan rakyat daripada terus dibelenggu penindasan dan penyelewengan hak terhadap pemilikan tanah.
 
“Justeru, PAS Sabah berani untuk menyahut kebangkitan ini dengan mengerakkan hampir 1,000  ahli di pelbagai peringkat, negeri, kawasan dan cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123 Bangkit bagi menyatakan sokongan demi menuntut keadilan dan kesaksamaan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Hamzah Abdullah.


Katanya, ia sekaligus memberi sokongan bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Malaysia berparlimen.

PAS Sabah, jelasnya sudah merasakan keperluan mendesak yang agak konkrit bagi membina sebuah ketamadunan kerajaan dalam menggembleng tenaga mencapai kata sepakat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada kezaliman.

“Kita mesti berusaha membela tanah yang telah kita usahakan sejak sekian lama ini. Tanah NCR/Tanah Adat mesti dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS negeri kepada Harakahdaily.

Oleh yang demikian, tegasnya lagi hak rakyat mesti dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

Tambahnya, amanah rakyat mestilah dikendalikan secara baik dan berhemah.

Beliau berkata, adalah malang bagi sesebuah negeri yang kaya ini langsung mempunyai barisan kepimpinan yang rosak akhlaknya, lemah daya pengurusan dan lompang sana-sini dari aspek penstruktural kuasa dan bidang.

Justeru, katanya apakah tidak ada inisiatif kerajaan dalam menyelesaikan masalah tanah ini.

Menurutnya, laporan Suhakam tentu tidak mengejutkan kebanyakan wakil pemimpin politik.

“Tapi, apakah dengan angka 977 yang juga angka tertinggi di Malaysia mengenai kes tanah tidak mendapat perhatian serius.

“Apakah ini satu kebanggaan atau satu permasalahan?” soalnya.

Mengenai Bangkit 123, jelasnya perhimpunan itu mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

“Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

Isnin, 5 Mac 2012

Pemuda PAS Sabah sertai Himpunan 123Bangkit

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyokong penuh usaha badan NGO, Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dan NGO-NGO lain untuk mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123Bangkit).
 
“DPPNS tampil menyahut kebangkitan ini dengan akan menggerakkan hampir 1,000 ahli dan pimpinan pelbagai peringkat sama ada peringkat negeri, kawasan atau cawangan seluruh Sabah untuk bersama-sama dalam himpunan 123Bangkit bagi menyatakan sokongan dan memperjuangkan keadilan rakyat,” ujar Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

 
Tambahnya, DPPNS turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak NGO, pertubuhan politik dan orang perseorangan dalam menyahut semangat itu.

Menurutnya, himpunan aman itu hendaklah dijadikan sebagai salah satu medan menyuarakan pandangan dan perhatian rakyat secara keseluruhannya setelah pelbagai cara dan alternatif dilakukan bagi menyelamatkan tanah rakyat daripada terus dicerobohi dan dirampas.

“Apa yang pasti ialah, memorandum demi memorandum telah dihantar namun apa yang mengecewakan ialah perhatian daripada YAB Datuk Seri Musa Aman tidak menyeluruh dan disifatkan sebagai ‘sambil lewa’,” katanya.

Justeru, ujarnya DPPNS mengharapkan kerjasama pasukan keselamatan dan peserta himpunan untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas himpunan itu berjalan.

Beliau berkata, ianya sebagai cerminan kepada sebuah negara dan negeri yang berdemokrasi.
 
back to top