Jumaat, 14 Oktober 2011

Pemuda Pakatan Rakyat Sabah demo bantah penutupan jalan


KOTA KINABALU, 14 Okt: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini menganjurkan demonstrasi bagi membantah penutupan jalan pintas ke Sabah Medical Center (SMC) dari Jalan Lintas susur masuk melalui Jalan Bersatu 1, petang tadi.

Demonstrasi berkenaan diketuai Pemuda DAP Negeri Sabah, Jenz Wong dan diadakan di lokasi berhampiran persimpangan Jalan Lintas-Jalan Bersatu 1, dekat sini.


Mereka berbuat demikian selepas mendapat keluhan pengguna jalan raya yang terpaksa melalui jalan utama untuk menuju SMC.


Kira-kira 50 pemimpin dan ahli parti-parti komponen PR menyertai demonstrasi yang bermula jam 3 petang tadi dan berakhir setengah jam kemudian.


Antara barisan kepimpinan yang hadir adalah  Ketua Pemuda PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu; Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Saudara Mohd Julfikar Abd Mijan; Pemuda DAP Negeri, Jenz Wong, wakil-wakil daripada Pemuda PAS Sabah, wakil Pemuda DAPSY, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan para penyokong ketiga-tiga parti.
 
“Pemuda PAS akan bersama-sama pemuda Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan hak-hak akyat terutama yang melibatkan isu kemudahan untuk rakyat,” kata Lahirul Latigu.

Demonstrasi aman itu bersurai tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Khamis, 13 Oktober 2011

DPPNS bantu mangsa banjir

BEAUFORT, 13 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) telah menyampaikan sumbangan keperluan beras kepada keluarga mangsa banjir di sekitar Daerah Beaufort di sini, Ahad lalu.

Penyerahan sumbangan berkenaan yang disampaikan sendiri Ketuanya, Saudara Lahirul Latigu turut dihadiri Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Saudara Mohd Julfikar Abd. Mijan, Setiausaha Pemuda PAS Sabah, Saudara Firdaus Fuad serta beberapa orang aktivis Pemuda PAS.

Sementara itu, beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Beaufort meluahkan rasa kesal terhadap banjir yang terlalu kerap melanda jalan utama Beaufort-Sipitang berdekatan Kampung Lumadan yang menyebabkan beberapa jalan terputus hubungan.

“Keadaan ini amat dikesali memandangkan ia seolah-olah tiada berpenghujung.

“Setiap kali berlaku hujan dan banjir, penduduk menanggung kesengsaraan dan kepayahan, sedangkan projek yang dinantikan seolah menanti bulan jatuh ke riba,” ujarnya.

Kampung Bukau antara yang terjejas teruk dilanda banjir di samping kampung sekitarnya iaitu Tambalang Along, Tunah Valley, Pulai Manang dan Lumadan yang mengalami kerosakan harta benda dan tanaman, sekali gus menyebabkan hilang sumber mata pencarian.

Projek tembatan banjir bagi lembaran Sungai Padas bernilai RM2 juta yang siap dibina pada 2010 manakala sebanyak RM 6.8 juta diperuntukan setahun sebelumnya bagi melebarkan Sungai Ulu Klias untuk menjayakan projek pencegahan banjir Skim Saliran Limbawang.

Tambahnya, walaupun terdapat peruntukan yang besar, namun tiada secara khusus disebutkan projek untuk Sungai Bukau dan Sungai Api-api yang menjadi laluan utama air di kawasan tersebut.

“Keadaan ini amat memalukan, apatah lagi laluan Kampung Bukau merupakan jalan utama ke pekan Beaufort dan bandar lain yang menjadi laluan oleh pelancong-pelancong dari negara Brunei Darusssalam” tegas beliau.

Selasa, 11 Oktober 2011

Jalan ditutup mengundang rasa tidak puas hati

KOTA KINABALU, 11 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penutupan jalan pintas dari Jalan Bersatu 1 menuju Sabah Medical Centre (SMC).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Saudara Mohd Julfikar Abd. Mijan berkata, pihak DPPNS mempersoalkan mengenai penutupan jalan tersebut yang merupakan satu-satunya jalan pintas menuju SMC.

Menurutnya, penutupan jalan pintas anggaran sejauh 500 meter itu juga menyebabkan pengguna terpaksa melalui jalan utama yang jauh dan terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas apabila tiba waktu kemuncak.

"Jalan ini merupakan jalan pintas yang menjadi pilihan orang awam untuk menuju ke SMC.

"Justeru, DPPNS dan Pakatan Rakyat Sabah akan mengambil inisiatif untuk mendesak pihak kerajaan agar menjelaskan kepada rakyat berhubung penutupan jalan tersebut", katanya.

Jalan itu juga melalui beberapa rumah termasuklah kediaman Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang melawat kawasan berkenaan ditemani wakil Pemuda DAPSY, Jenz Wong dan beberapa ahli pemuda PAS.

Isnin, 10 Oktober 2011

Tiga beradik mangsa kebakaran diberi bantuan


BEAUFORT, 10 Oktober – Nasib tiga beradik malang yang terlibat dalam kebakaran baru-baru ini, mendapat perhatian Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS).

Dengan kerjasama PAS Kawasan Beaufort, kesemua mereka menerima sumbangan beras serta barang keperluan harian, semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu berkata, pihaknya memang mempunyai dana khas kecemasan bagi membantu mereka terlibat dalam bencana alam seperti ini.

“Pada hari ini (semalam) kita membelikan kelengkapan harian termasuk beras dan pakaian agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa”, katanya.

Turut serta dalam rombongan beliau ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julfikar Abdul Mijan.

 
back to top