Isnin, 6 Januari 2014

ISA: Episod Penderitaan Tahanan Berakhir

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini mendapat perkhabaran yang mengembirakan apabila episod penahanan enam (6) tahanan terakhir Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal berakhir apabila pembebasan tersebut diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Januari lalu. Dengan pembebasan 6 tahanan terakhir ISA tersebut, maka tidak ada lagi penghuni Kem Kemunting setelah ribuan mangsanya ditahan dengan pelbagai 'alasan' sebagai bukti kukuh penahanan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut merakamkan kesyukuran dan kelegaan kerana dua (2) daripada tahanan terakhir ini adalah mereka yang menetap di Sabah. Penantian bertahun keluarga tahanan yang kehilangan insan tersayang akhirnya terlerai. Pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melihat ini satu ujian dan pengorbanan besar berikutan kebobrokan akta yang disalah guna. Semoga, Allah membalas dengan kesabaran tinggi kepada mangsa dan keluarga yang terlibat.

Sejarah dan fakta jelas membuktikan bahawa akta ini tidak diuruskan dengan adil, tahan tanpa bicara, seksaan dalam tahanan turut menjadi ramuannya. Perdana Menteri telah mengumumkan pemansuhan akta ISA ini pada 2011 dan digantikan dengan akta yg lebih bersifat 'manusiawi'. Tunggu dan lihat sajalah, sama ada benar- benar dimansuh atau retorik semata dan akan ada lagi calon bakal penghuni Kemunting dengan 'kaedah' lain. Kerajaan yang terlalu lama bergelumang dengan kuasa seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sanggup melakukan apa saja untuk membolehkannya gah dengan kuasa.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melahirkan ketegasan dan keprihatinan isu ini apabila bertindak menyerahkan memorandum kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Negeri Sabah pada 22 November 2011. Serahan tersebut diwakili Sdr. Mazlan Aliman, AJK PAS Malaysia dan Sdr. Aminuddin Aling, Pesuruhjaya PAS Sabah bersama anggota keluarga mangsa tahanan. PAS juga turut menyerahkan memorandum yang sama kepada wakil Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Sdr. Syed Ibrahim Syed Noh pada 25 November 2011.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah akan terus berazam mempertahankan prinsip keadilan dan menentang kezaliman selari dengan ajaran perjuangan Nabi Muhammad SAW.


MOHD MUKMIN MOHD AMIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top