Khamis, 26 Julai 2012

Pemuda alukan Lajim sertai PAS


BEAUFORT: PAS bersedia menerima kemasukan orang ramai termasuk tokoh masyarakat dan politik untuk menjadi ahli parti tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, PAS sudah menunjukkan keterbukaan dengan menerima kemasukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai parti tersebut tanpa sebarang halangan dan latar belakang.

“PAS sudah banyak pengalaman yang dilalui. PAS juga menerima pelbagai latar sama ada doktor, peguam, professional malah orang kampung yang tidak berpendidikan pun PAS terima kalau dia mahu jadi ahli.

“PAS tidak pernah halang kemasukan mereka”, ujar beliau.

PAS katanya, turut menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin untuk menyertai PAS sekiranya beliau dipecat oleh Umno.

“PAS mengalu-alukan tindakan beliau untuk bersama perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

“Beliau (Lajim) sudah pun mengakui bahawa Pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan dan memperbetulkan apa yang diseleweng Umno. Ini kata beliau, dan PAS amat berterima kasih terhadap pandangan beliau ini,” katanya.

Beliau diminta mengulas terhadap kenyataan Datuk Seri Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam sebuah akhbar tempatan Daily Express kelmarin yang tidak kisah dipecat oleh Umno serta bersedia menyertai sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS atau DAP berdasarkan kehendak para penyokongnya.

Katanya Lahirul, pimpinan Umno dan rakyat di negeri Sabah sebenarnya tidak perlu gusar dan takut-takut untuk menyatakan pendirian mereka terhadap Umno kerana parti tersebut sudah tidak mampu mengubah dan berubah apa-apa yang sepatutnya dimiliki oleh negeri ini.

“Apa yang ada dalam Umno kini hanyalah rasuah, kronisme, putar belit dan sebagainya.

“Kenapa perlu dipertahankan Umno dan Barisan Nasional lagi,  seandainya ada Pakatan Rakyat yang mampu mengubah landskap politik dan kehidupan rakyat Sabah.?” Jelas Lahirul.

Sila Tinggalkan Pesan, K!

Catat Ulasan

 
back to top