Rabu, 25 April 2012

Rakyat Sabah diajak turun ke Bersih 3.0

KOTA KINABALU: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) mengajak seluruh rakyat Sabah untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Rakyat Bangkit 2.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka, di sini.

Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, ia merupakan himpunan lanjutan yang terpaksa diambil setelah pelbagai kaedah yang sama sebelum ini gagal diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan Negeri terutama melibatkan tanah rakyat.   

“Isu ini bukan pertama kali diketengahkan, bahkan kita juga sudah banyak menerima rungutan dan keluhan rakyat yang mengalami masalah tanah.

“Kita juga sudah membawa isu ini ke pengetahuan media dan perhatian Pejabat Ketua Menteri, namun apa yang dikesalkan ialah tindakan dan perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan tidak dipedulikan malah menyulitkan lagi keadaan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pemuda PAS Sabah, dekat Kingfisher pagi tadi.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit dalam menuntut hak dan keadilan. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya penindasan di kalangan rakyat.

“Sebagai rakyat, kita perlu sedar bahawa kita juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan. Seperti apa yang berlaku sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bukan sahaja mengelak untuk berjumpa dengan rakyat malahan melayan rakyat dengan cara yang tidak masuk akal.

“Tanah ini bukan untuk seminggu dua saja, tapi ianya digunapakai buat kepada generasi-generasi yang akan datang. Bila tanah kita ini dirampas dengan cara yang jahat, maka hak kita turut dinafikan oleh mereka.

Hisammuddin berkata, pihak kerajaan negeri perlu merangka satu mekanisma terbaik dan bertindak secara adil untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku.

“Sudah menjadi kewajipan setiap kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah ini dengan cara yang bijak dan bukan dengan cara menindas golongan rakyat. Beberapa isu berkaitan perlu ditangani berkenaan seperti ketelusan dalam pemberian tanah, Tanah Hak Adat Sabah, pampasan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau juga katanya akan memobilisasi rakyat bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama turun dalam himpunan kelak yang juga turut dihadiri Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 3.0  yang diadakan serentak pada hari berkenaan.

Selasa, 24 April 2012

Kerajaan BN Sabah sudah lama tipu rakyat

KENINGAU, 24 April: Pemuda PAS Sabah melahirkan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mempolemikkan isu mengenai taraf kehidupan rakyat terutama yang melibatkan rakyat di kawasan pedalaman negeri ini. 
 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mendakwa, peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini merupakan hasil usaha dan titik peluh yang dibangunkan sendiri oleh rakyat dan bukannya ditentukan oleh usaha kerajaan.


“Peningkatan kehidupan yang kian bertambah baik yang dinikmati oleh penduduk pedalaman pada hari ini bukan hasil usaha kerajaan, namun hasil keringat dan kudrat rakyat itu sendiri.

“Peningkatan pendapatan ekonomi rakyat terutama yang melibatkan pertanian adalah didorongi oleh permintaan komoditi pasaran dunia dan bukan disebabkan rancangan pihak kerajaan negeri.

“Makanya, rakyat perlu sedar bahawa selama ini kerajaan cuba hendak menjadi hero dan seolah-olah menunjuk-nunjuk kehebatannya sedangkan sedikitpun usaha itu adalah disebabkan rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Keningau.

Lahirul bersama rombongan pemuda PAS Sabah ditemui ketika mengadakan kunjungan dan lawatan kerja selama sehari ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Politik dan Strategik Pemuda PAS Sabah mendapati bahawa, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang diamanahkan oleh kerajaan negeri bagi membangunkan industri dan pendapatan rakyat tidak memenuhi keperluan sebenar apatah lagi LIGS menawarkan harga pasaran getah yang jauh lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia dan pasaran dunia.

“Kerajaan negeri tidak berperanan sebagai agensi khusus sebaliknya menjadi dalang utama yang menyekat peningkatan ekonomi pertanian.

“Kita (PAS) bimbang dengan perkembangan ini yang seolah-olah kerajaan langsung tidak peka dan prihatin terhadap keluhan dan rintihan peneroka getah.

“Kerajaan bukan sahaja menampakkan ianya telah gagal mengurus ekonomi negeri, malah gagal juga dalam mengarah dan mengurus LIGS supaya mengoptimumkan harga pasaran getah agar lebih selaras dengan harga pasaran dunia.

Selain itu, beliau turut menegur kerajaan negeri agar memastikan pengilang kelapa sawit tidak mengambil kesempatan membeli sawit dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang sepatutnya diterima peneroka.

“Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini sebagai satu masalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Jika ianya berleluasa, isu ini akan menjadi barah dan meminggirkan serta menindas golongan peneroka.

“Masakan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan ini, sedangkan lessen pemilik dan pengusaha kilang, dikeluarkan oleh kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, harga sawit mentah yang dibeli oleh kilang hanya sekadar RM 800.00 setan namun hampas (bio-mass) sawit dimiliki oleh pekilang. Harga hampa (bio-mass) di pasaran dunia adalah diantara RM 1,200.00 hingga RM 1,500.00 setan.

“Ini bererti, pekilang kelapa sawit mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan cubaan menipu dan menindas rakyat kampung.

“Kerajaan juga menunjukkan sikapnya yang langsung tidak pandai mengurus kebajikan dan ekonomi rakyat,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pemuda PAS juga katanya, turut mempertikai kehadiran pelbagai agensi persekutuan ke Sabah yang hanya berminat memungit hasil namun tidak memberi sumbangan kepada negeri ini.

“Kita boleh senaraikan seberapa banyak agensi persekutuan yang datang ke Sabah ini seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, MPOB, MTAB dan juga Lembaga Koko Malaysia.

“Untuk apa agensi-agensi ini datang ke Sabah, sedangkan mengikut Perlembagaan Malaysia ada menyebut bahawa pertanian adalah hak mutlak kerajaan Negeri Sabah.

“Dan, perkara ini juga bercanggah dengah Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau.

Jumaat, 13 April 2012

Bangkit 2.0 diadakan pada 28 April

KOTA KINABALU, 12 April: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat atau Bangkit 2.0 pada 28 April ini, di Padang Merdeka. Kota Kinabalu.

Pengerusi Tabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, perhimpunan tersebut bakal bergabung serentak dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada tarikh serta lokasi yang sama.

 

“Tabah akan terus mengadakan perhimpunan aman ini tanpa melibatkan sebarang perarakan seperti mana yang diuar-uarkan akan dilaksanakan oleh Bersih. Tujuan kita hanyalah bagi menyuarakan perasaan rakyat dan orang kampung yang mengalami masalah tanah.

“Tabah juga akan memastikan setiap peserta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mahu sebarang anasir liar dan jahat dimulakan oleh peserta. Kita mahu buktikan kepada seluruh dunia bahawa peserta perhimpunan aman ini semuanya baik dan mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, Tabah akan menghantar surat pemberitahuan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi memaklumkan perhimpunan berkenaan dan memohon kawalan keselamatan bagi sebarang kemungkinan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tabah hanya akan mengadakan perhimpunan sahaja. Sebarang perarakan perlu bertanyakan kepada parti politik sama ada mereka mahu buat atau tidak,” ujar beliau dalam sidang media pelancaran Bangkit 2.0 di sini kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Tabah yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu memaklumkan bahawa persetujuan awal yang diperolehi semasa pertemuan bersama Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria pada Mac lalu juga turut mengakui hanya dua lokasi yang dibenarkan untuk perhimpunan iaitu sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Polis sudah memberikan persetujuan, hanya dua lokasi di sekitar Kota Kinabalu ini sesuai untuk berhimpun sama ada di Stadium Likas atau Padang Merdeka.

“Cumanya, kita diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan berkenaan bagi penggunaan tempat,” jelas Lahirul.

Tambahnya, memorandum turut akan diserahkan semasa perhimpunan tersebut dengan diwakili oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

“Oleh sebab Ketua Menteri terlalu ego untuk berjumpa dengan rakyat semasa 123 Bangkit yang lalu, maka pada hari tersebut kita akan menyerahkan memorandum serupa kepada pimpinan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

“Kita mahu, hak rakyat Sabah ini dikembalikan kepada mereka, katanya.

Selasa, 10 April 2012

Pemuda PAS gesa kembalikan hak, maruah Sabah

KOTA KINABALU, 9 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mengajak seluruh rakyat Sabah agar menggunakan kuasa yang ada bagi menggembalikan maruah dan martabat negeri ini.
 
Ketuanya, Lahirul Latigu berkata kemerdekaan negeri Sabah sejak 48 tahun lalu sudah tidak mempunyai pengertian, ekoran penjajahan bentuk baru yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional.

“Penyatuan Sabah bersama Sarawak, Singapura, dan Tanah Malayu akhirnya membentuk Malaysia melalui perjanjian 1963 hanya berlaku pada 16 September 1963 yang sepatutnya membawa lebih kemakmuran kepada Sabah.


“Namun setelah 48 tahun, Sabah telah jauh ke belakang dihambat kemiskinan. Sedangkan Sabah kaya dengan khazanah alam yang melimpah ruah di laut dan daratan,” kata beliau dalam ucapan dasarnya semasa Muktamar DPPNS kali ke-25 di sini, kelmarin.

Para perwakilan dan pemerhati khusyuk mendengar ucapan dasar

Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar mengenai kuasa dan hak dalam penentuan survival politik negeri.

“Rakyat Sabah mesti sedar akan bargaining power yang sekarang terletak di tangan rakyat. Rakyat Sabah perlu mengambil kesempatan ini untuk menuntut segala hak yang begitu jauh dinafikan sekian lama oleh regim Umno/ Bn.

“Rakyat Sabah juga harus bangkit dan memastikan pilihanraya ke-13 ini sebagai satu pungutan suara rakyat (referendum) untuk menolak kepimpinan Umno/ Bn bukan saja di Sabah malah di seluruh Malaysia,” ujar beliau.
 
back to top