KOTA KINABALU, 12 Feb: Pemuda PAS Sabah hari ini  melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri  Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan  Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan  tanah di Sabah.
Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan menyifatkan  tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak  asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah  tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana  telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.
“Kita amat kesal dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah ini. Ini bakal  menjerumuskan kesulitan anak Sabah mengenai pemilikan tanah dibawah  undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.
Menurutnya, PAS cukup sangsi dengan keupayaan beliau sehingga sanggup  mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan Anak Negeri  Sabah.
“Isu ini bukan perkara yang sepatutnya dibuat main-main oleh  kerajaan. Ianya perlu dibawa ke muka pengadilan yang seadilnya bagi  memastikan tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah  tidak terabai dan dipandang rendah,” jelasnya.
PAS juga berpendirian bahawa, hak asasi Anak Negeri Sabah mesti  dipertahankan dan meminta mana-mana pihak yang merampas tanah-tanah adat  negeri sama ada melalui pemalsuan dokumen dan identiti diri dapat  memulangkan semula hak anak negeri tersebut kepada pemiliknya.
“Hak Anak Negeri Sabah perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Ini  hak kita, ini tanah kita... kenapa perlu mereka merampas hak kita?
“Di mana suara pemimpin-pemimpin kerajaan kita... yang selama ini  merekalah mendabik dada memperjuangkan hak. Di mana mereka ketika ini?
“Anak-anak Negeri Sabah hidup dibelenggu ketakutan dan ancaman,” jelas Julpikar.

Sila Tinggalkan Pesan, K!
Catat Ulasan